KUCHING: Beijing BECA Sci-Tech Co’ Ltd dan Sinopec Engineering Incorporated, China berminat untuk mengadakan kajian geoteknikal sebaik sahaja dibenarkan masuk ke Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kedua-dua syarikat dari China itu menaruh minat untuk mengadakan kajian kemungkinan bagi membangunkan projek Bersepadu Petrokimia dan Penapisan di Lawas.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan diberi taklimat oleh oleh kedua-dua syarikat terbabit mengenai kajian kemungkinan membangunkan projek terbabit di Lawas melalui persidangan video.
Persidangan itu dihadiri Pengerusi Beijing BECA Sci-Tech Co. Ltd, Dong Chao dan Ketua Jurutera Sinopec Engineering Incorporated, Huo Hongwei.
Awang Tengah memberi jaminan kepada pelabur bahawa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan mempercepatkan proses pelaburan yang dicadangkan supaya menjadi kenyataan dan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak – pelabur dan negeri Sarawak.
Beijing BECA dan Sinopec Engineering memilih Sarawak khasnya Lawas kerana ia terletak di kawasan strategik di wilayah ASEAN dan pasaran pengguna.
Projek itu bukan hanya menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan tetapi juga peluang ekonomi kepada perusahaan kecil sederhana (PKS) tempatan dalam banyak bidang seperti pembinaan, logistik, penyelenggaraan kemudahan, bekalan makanan dan penginapan.
Menteri Muda Pembangunan Perindustrian, Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Setiausaha Tetap MINTRED, Datu Liaw Soon Eng dan pegawai kanan dari jabatan dan agensi berkaitan hadir sama.
Sumber dari : Jiwa Bakti